Wednesday, April 27, 2011

Sejarah

Sekolah Kebangsaan Seri Intan adalah berasal daripada Anson Malay Girl  Primary School atau Sekolah Rendah Melayu Perempuan Jalan Ah Cheong, Teluk Intan. Didirikan pada tahun 1906, kemudian berpindah ke tapak sekarang pada tahun 1936, mengambil bangunan Sekolah Melayu Lelaki lama, Jalan Maharani. Bangunan lama di Jalan Ah Cheong dijadikan sekolah Tamil hingga sekarang.
   Hanya terdapat satu blok bangunan kayu 4 bilik. Apabila murid bertambah ramai, 2 bilik darjah lagi dan sebuah Bilik Urusan Rumah Tangga dibina pada tahun 1954. Murid Darjah v dan vi belajar URT haingga tahun 1966. Lepas itu sekolah melayu diubah nama kepada Sekolah Umum Perempuan, pelajaran URT tidak lagi diajar dan kelas URT ditutup. Bangunan URT dijadikan bilik darjah.
    Keramaian murid bertambah, bilik darjah tidak mencukupi. Tahun 1963 diadakan kelas pagi dan petang hingga tahun 1971. Tahun 1970, semasa Rancangan Malaysia Kedua, kerajaan membangunkan bangunan baharu dua tingkat. mempunyai 8 bilik darjah, bilik guru, pejabat dan kantin. Masa ini keramaian murid ialah 500-550 orang. Apabila bangunan baharu siap (1971) murid belajar sebelah pagi sahaja, tetapi kawasan sekolah menjadi sempit, tiada padang permainan yang sesuai untuk sukan. Bagaimanapun bangunan lama masih dipakai.
   Sekolah baru telah bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Seri Intan pada 05.06.1972 yang perasmiannya disempurnakan oleh YB Datuk Hussein bin Onn, Menteri Pelajaran Malaysia masa itu. SKSI juga mula menerima murid lelaki. Pada tahun 1974 PIBG ditubuhkan dan YDPnya ialah YM Encik Ibrahim bin Yaakub. SKSI bertambah maju bersama PIBG dari semasa ke semasa.
    Apabila pengurusan Hospital Daerah Teluk Intan berpindah ke tapak yang baharu sekarang, sekitar tahun 80an, (Jalan Changkat Jong), rumah-rumah kerajaan di kawasan ini dirobohkan, bilangan murid semakin berkurangan. Kemudian kelas Pendidikan Khas wujud pada tahun 1994, ditempatkan di tingkat bawah. SKSI mendapat bangunan batu didirikan sekitar tahun 2002, satu blok 4 tingkat (Blok B), menjadikan SKSI mempunyai 3 blok; Blok A, Blok B dan Blok C (Blok A dan Blok C dipinjam oleh pentadbiran PPD Hilir Perak).Hujung blok C ditempatkan pengurusan Pusat Kegiatan Guru Teluk Intan. Kemudian dapat satu blok lagi iaitu Makmal Komputer.
  Pada mulanya Pendidikan Khas wujud satu kelas dengan 6 orang murid dan seorang guru. Bilangan murid dan guru kian bertambah. Kini Pendidikan Khas ada 44 orang murid dengan 13 orang guru.(termasuk seorang PK Pendidikan Khas) dan 6 orang Pembantu Pengurusan Murid. Jumlah murid aliran perdana ialah 122 orang dan gurunya 17 orang (2010).  Alhamdulillah SKSI kian maju menjadi Sekolah Perkasa, memenangi banyak anugerah dan UPSRnya juga menyerlah, menjadi kebanggaan ibu bapa, PIBG, PPD dan masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment